Resolusi Bertulis Ahli Syarikat di Malaysia
Tidak semua keputusan korporat perlu mendapatkan kelulusan melalui mesyuarat agung pemegang saham secara rasmi. Di bawah Akta Syarikat 2016 Malaysia (“AS 2016”), sesebuah syarikat persendirian boleh mendapatkan kelulusan ahli melalui resolusi bertulis tanpa perlu mengadakan mesyuarat agung.
Kaedah ini menawarkan pendekatan yang lebih fleksibel, khususnya apabila pemegang saham berada di bidang kuasa yang berbeza atau apabila kelulusan bagi sesuatu perkara perlu diperoleh tanpa perlu memanggil dan mengadakan mesyuarat.
Walaupun resolusi bertulis kelihatan seperti suatu proses yang mudah, syarikat masih tertakluk kepada prosedur yang ditetapkan di bawah AS 2016. Oleh itu, adalah penting untuk memahami bagaimana resolusi ini berfungsi, pihak yang berhak mencadangkannya serta tahap kelulusan yang diperlukan bagi mengelakkan sebarang kesilapan atau ketidakpatuhan dari segi prosedur.
-
Apakah Resolusi Bertulis Ahli?
Resolusi bertulis ahli ialah suatu keputusan rasmi yang dikemukakan untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham tanpa memerlukan mereka menghadiri mesyuarat agung.
Ahli syarikat persendirian boleh meluluskan sesuatu resolusi sama ada melalui resolusi bertulis menurut Seksyen 290 AS 2016 atau melalui mesyuarat agung. Walau bagaimanapun, bagi syarikat awam, resolusi ahli hendaklah dibincangkan dan diluluskan dalam mesyuarat agung selaras dengan keperluan yang berkenaan di bawah AS 2016.
-
Siapakah yang Boleh Mencadangkan Resolusi Bertulis?
Resolusi bertulis tidak semestinya perlu dicadangkan oleh Lembaga Pengarah. Seksyen 297 AS 2016 membenarkan resolusi bertulis dicadangkan sama ada oleh Lembaga Pengarah atau oleh mana-mana ahli syarikat persendirian.
Walau bagaimanapun, hanya ahli yang mewakili sekurang-kurangnya 5% daripada keseluruhan hak mengundi semua ahli yang layak, atau peratusan yang lebih rendah sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan syarikat, boleh meminta syarikat mengedarkan cadangan resolusi bertulis kepada ahli-ahlinya.
Selain itu, adalah penting untuk diambil perhatian bahawa keputusan berhubung pemecatan pengarah dan pemecatan juruaudit masih perlu dibuat melalui mesyuarat agung menurut Seksyen 297(2) AS 2016.
-
Resolusi Biasa dan Resolusi Khas
Seperti resolusi yang diluluskan dalam mesyuarat agung, resolusi bertulis juga terbahagi kepada dua jenis, iaitu resolusi biasa dan resolusi khas, bergantung pada jenis perkara yang ingin diputuskan. Cadangan resolusi yang dikemukakan hendaklah menyatakan dengan jelas sama ada ia merupakan resolusi biasa atau resolusi khas.
Resolusi Biasa (Ordinary Resolution) memerlukan kelulusan lebih daripada 50% daripada jumlah undi yang dibuang oleh ahli yang berhak mengundi bagi resolusi tersebut, manakala Resolusi Khas (Special Resolution) memerlukan kelulusan ahli yang mewakili sekurang-kurangnya 75% daripada jumlah undi ahli yang berhak mengundi bagi resolusi tersebut.
Syarikat hendaklah memastikan bahawa jumlah undi yang diperlukan telah diperoleh sebelum sesuatu resolusi dianggap telah diluluskan dengan sewajarnya.
-
Bagaimanakah Proses Resolusi Bertulis Dilaksanakan?
Langkah pertama ialah menyediakan cadangan resolusi yang menyatakan dengan jelas perkara yang memerlukan kelulusan pemegang saham. Setelah disediakan, cadangan resolusi tersebut hendaklah diedarkan kepada semua ahli yang layak sama ada dalam bentuk salinan fizikal atau secara elektronik, selaras dengan kehendak AS 2016. Syarikat juga hendaklah memaklumkan kepada ahli mengenai kaedah untuk menyatakan persetujuan mereka serta menetapkan tarikh akhir bagi memberikan maklum balas.
Ahli yang bersetuju dengan cadangan resolusi boleh menyatakan persetujuan mereka secara bertulis melalui salinan fizikal atau kaedah elektronik, tertakluk kepada keperluan undang-undang yang berkenaan.
Perlu diberi perhatian bahawa sebaik sahaja seseorang ahli menyatakan persetujuannya terhadap sesuatu cadangan resolusi bertulis, persetujuan tersebut tidak boleh ditarik balik pada peringkat kemudian.
Sesuatu resolusi bertulis dianggap telah diluluskan apabila jumlah persetujuan yang diperlukan daripada ahli-ahli yang layak telah diperoleh.
-
Berapa Lamakah Tempoh yang Diberikan kepada Ahli untuk Memberikan Maklum Balas?
Bagi resolusi bertulis yang dicadangkan oleh ahli, Seksyen 307 AS 2016 memperuntukkan bahawa resolusi tersebut akan luput sekiranya tidak diluluskan dalam tempoh 28 hari bermula dari tarikh pengedaran resolusi, melainkan perlembagaan syarikat memperuntukkan sebaliknya.
Bagi resolusi yang dicadangkan oleh Lembaga Pengarah, syarikat hendaklah menetapkan tarikh akhir bagi ahli menyatakan persetujuan mereka selaras dengan Seksyen 301 AS 2016.
Sekiranya resolusi tersebut tidak diluluskan dalam tempoh yang ditetapkan, syarikat tidak boleh menganggap resolusi berkenaan telah diluluskan secara automatik. Sebaliknya, syarikat mungkin perlu mengedarkan semula cadangan resolusi yang baharu sekiranya masih memerlukan kelulusan daripada ahli-ahlinya.
-
Penyimpanan Rekod Resolusi Bertulis yang Teratur
Selepas sesuatu resolusi bertulis diluluskan, syarikat hendaklah memastikan bahawa semua rekod berkaitan disimpan dan diselenggarakan dengan sewajarnya sebagai bukti bahawa kelulusan pemegang saham yang diperlukan telah diperoleh bagi keputusan korporat tersebut.
Di bawah Seksyen 341 AS 2016, syarikat dikehendaki menyimpan rekod resolusi yang diluluskan oleh ahli sekurang-kurangnya selama 7 tahun. Rekod tersebut hendaklah merangkumi resolusi bertulis yang berkaitan serta dokumen sokongan yang membuktikan bahawa persetujuan ahli telah diperoleh.
Penyimpanan rekod yang lengkap dan teratur bukan sahaja penting bagi tujuan pematuhan undang-undang, malah dapat membantu syarikat membuktikan kesahihan keputusan korporat yang telah dibuat sekiranya timbul sebarang pertikaian atau semakan pada masa hadapan.
-
Kesimpulan
Resolusi bertulis ahli menyediakan satu kaedah yang berkesan dan praktikal bagi syarikat persendirian di Malaysia untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham tanpa perlu mengadakan mesyuarat agung bagi setiap keputusan yang perlu dibuat.
Walau bagaimanapun, proses ini masih tertakluk kepada keperluan undang-undang yang berkaitan, termasuk kaedah pengedaran resolusi, jumlah undi atau persetujuan yang diperlukan serta kewajipan penyimpanan rekod.
Oleh itu, syarikat disarankan untuk bekerjasama rapat dengan setiausaha syarikat bagi memastikan setiap resolusi bertulis disediakan, diedarkan dan diluluskan dengan sewajarnya mengikut kehendak AS 2016.
Kaizen, bersama-sama dengan firma bersekutunya di Malaysia, boleh membantu pelanggan dalam melaksanakan formaliti pematuhan yang diperlukan bagi memastikan syarikat Malaysia sentiasa berada dalam kedudukan yang baik. Sila hubungi dan berbincang dengan profesional kami di Kaizen untuk mendapatkan penjelasan lanjut.