Laman Utama   Pengetahuan  Malaysia  Percukaian Malaysia  Soal Jawab e-Invois Malaysia untuk Perkhidmatan Pajak Gadai 

PENGETAHUAN

KONGSI

Soal Jawab e-Invois Malaysia untuk Perkhidmatan Pajak Gadai

Soal Jawab e-Invois Malaysia untuk Perkhidmatan Pajak Gadai

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia telah mengemas kini soalan lazimnya untuk industri tertentu mengenai pelaksanaan e-Invois di Malaysia pada 26 Ogos 2026. Soalan lazim tersebut kini memperkenalkan panduan baharu bagi transaksi berkaitan pajak gadai.

  1. Apakah layanan e-Invois bagi pemberian pajak gadai dan penebusan atau pembaharuan surat pajak gadai yang seterusnya?

    Layanan e-Invois bergantung kepada jenis transaksi tertentu:

    Pemberian Pajak Gadai: Apabila pinjaman pajak gadai diberikan kepada pemajak gadai, pemegang pajak gadai tidak dikehendaki mengeluarkan e-Invois bagi jumlah prinsipal pinjaman tersebut.

    Penebusan atau Pembaharuan Surat Pajak Gadai: Pemegang pajak gadai dikehendaki mengeluarkan e-Invois bagi transaksi berikut sekiranya pemajak gadai memohon e-Invois:

    (1) caj surat yang dikenakan oleh pemegang pajak gadai; dan

    (2) faedah yang dikenakan semasa penebusan atau pembaharuan surat pajak gadai.

    Sekiranya e-Invois tidak dipohon, resit standard akan dikeluarkan, dan pemegang pajak gadai dikehendaki mengeluarkan e-Invois disatukan dalam tempoh tujuh (7) hari dari akhir bulan tersebut.

  2. Adakah e-Invois perlu dikeluarkan bagi faedah terakru boleh terima akhir tahun yang diiktiraf ke atas pinjaman pajak gadai yang belum ditebus?

    E-Invois tidak perlu dikeluarkan bagi faedah terakru boleh terima akhir tahun yang diiktiraf bagi tujuan perakaunan atau percukaian.

  3. Di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972, apakah layanan e-Invois apabila barang yang dicagarkan bagi pinjaman tidak ditebus dalam tempoh yang ditetapkan?

    Apabila barang yang dicagarkan bagi pinjaman tidak ditebus dalam tempoh yang ditetapkan, layanan e-Invois bergantung kepada sama ada pemilikan berpindah secara automatik atau melalui proses lelongan:

    (1)
    Pinjaman Tidak Melebihi RM200: Apabila barang yang dicagarkan bagi pinjaman tidak melebihi RM200 tidak ditebus, pemilikan barang yang dicagarkan tersebut akan berpindah secara automatik kepada pemegang pajak gadai tanpa melalui proses lelongan. Dalam keadaan ini, pemegang pajak gadai dikehendaki mengeluarkan e-Invois bil kendiri bagi pemerolehan barang yang dicagarkan tersebut.

    (2)
    Pinjaman Melebihi RM200: Apabila barang yang dicagarkan bagi pinjaman melebihi RM200 tidak ditebus, barang yang dicagarkan tersebut akan dijual melalui lelongan. Keperluan e-Invois bergantung kepada pihak yang membeli barang tersebut:

    • sekiranya pemegang pajak gadai membeli barang yang dicagarkan tersebut daripada lelongan, pemegang pajak gadai dikehendaki mengeluarkan e-Invois bil kendiri bagi pembelian barang yang dicagarkan tersebut dan e-Invois bagi faedah serta caj lain yang dikenakan.

    • sekiranya pembida pihak ketiga membeli barang yang dicagarkan tersebut daripada lelongan, pembida pihak ketiga dikehendaki mengeluarkan e-Invois bil kendiri bagi pembelian barang yang dicagarkan tersebut. Pemegang pajak gadai dikehendaki mengeluarkan e-Invois bagi faedah serta caj lain yang dikenakan.

  4. Apakah layanan e-Invois bagi lebihan wang yang terhasil daripada lelongan barang yang dicagarkan, termasuk lebihan wang yang tidak dituntut dan diserahkan kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (selepas ini dirujuk sebagai "JANM")?

    Apabila sesuatu lelongan menghasilkan hasil jualan yang melebihi jumlah keseluruhan yang boleh dituntut oleh pemegang pajak gadai, layanan e-Invois bagi lebihan wang yang terhasil adalah seperti berikut:

    (1)
    Lebihan Wang Dipegang secara Amanah atau Dipulangkan kepada Pemajak Gadai: Apabila hasil lelongan melebihi jumlah yang boleh dituntut oleh pemegang pajak gadai, dan lebihan wang tersebut dipegang secara amanah bagi pihak pemajak gadai, tiada e-Invois perlu dikeluarkan oleh pemegang pajak gadai. Begitu juga, apabila lebihan wang tersebut kemudiannya dipulangkan kepada pemajak gadai, tiada e-Invois diperlukan.

    (2)
    Lebihan Wang Tidak Dituntut yang Diserahkan kepada JANM: Apabila lebihan wang kekal tidak dituntut dan seterusnya diserahkan oleh pemegang pajak gadai kepada JANM, tiada e-Invois atau e-Invois bil kendiri perlu dikeluarkan.

  5. Apakah layanan e-Invois apabila pemegang pajak gadai menjual barang yang dicagarkan yang telah diperoleh sebelum ini oleh pemegang pajak gadai?

    Apabila pemegang pajak gadai menjual barang yang dicagarkan yang telah diperoleh sebelum ini, pemegang pajak gadai dikehendaki mengeluarkan e-Invois sekiranya pembeli memohon e-Invois tersebut.

    Sekiranya e-Invois tidak dipohon, resit standard akan dikeluarkan, dan pemegang pajak gadai dikehendaki mengeluarkan e-Invois disatukan dalam tempoh tujuh (7) hari dari akhir bulan tersebut.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia di https://www.hasil.gov.my/en

Kumpulan KAIZEN, bersama-sama dengan firma sekutunya di Malaysia, bersedia membantu pelanggan untuk melaksanakan segala urusan pematuhan ini bagi memastikan syarikat Malaysia anda sentiasa berada dalam status kedudukan yang baik (good standing). Sila hubungi dan berbincang dengan akauntan profesional kani di Kaizen untuk penjelasan lanjut.

Penafian

Segala maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian maklumat sahaja dan bukan merupakan nasihat profesional. Kaizen tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang timbul daripada penggunaan maklumat tersebut.

Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lanjut atau bantuan, sila layari laman web rasmi Kaizen CPA Limited di www.kaizencpa.com atau hubungi kami melalui saluran berikut untuk bercakap dengan para professional kami:

E-mel: info@kaizencpa.com
Tel: +852 2341 1444
Telefon bimbit: +852 5616 4140, +86 152 1943 4614
WhatsApp/Line/WeChat: +852 5616 4140
Skype: kaizencpa

Muat turun: Soal Jawab e-Invois Malaysia untuk Perkhidmatan Pajak Gadai [PDF]

Bahasa

English

繁體中文

日本語

CHINA

Tutup